Tuesday, July 27, 2010
saya suka post ini: dari seorang kenalan Tramizi Hussin
http://www.facebook.com/notes/tramizi-hussin/gadis-kek-cawan-dan-cinta-hatinya/10150253949050249
terima kasih :)
Gadis Kek Cawan Dan Cinta Hatinya
Today at 1:04pm
Aku berjumpa gadis itu di satu senja. Dia duduk di bangku menghadap matahari yang sedang terbenam. Di pahanya ada kotak warna hitam ke-emasan yang disimpul dengan riben berwarna biru laut. Sesekali rambut hitam ikalnya terbang menutup muka, yang cepat-cepat diseka dengan tangan kanannya. Ada air mata yang menitis jatuh perlahan-lahan, ke pipi mengalir terus menitik jatuh ke atas kotak itu. Lama aku melihatnya dari belakang, kemudian memutuskan untuk menegur lembut. Dia mengangguk perlahan, tiada riak resah dan takut dari wajahnya melihat aku perlahan-lahan duduk di sampingnya.
Ada esak tangis yang ditahan-tahan. Aku keluarkan tisu dari beg sandangku dan sua kan kepadanya. Dia tersenyum nipis, dan mengambil tisu itu mengelap mata dan wajahnya yang kebasahan. Dan kami lama duduk di situ diam, merenung langit yang semakin jingga dan bulan yang semakin terang nampak di kejauhan.
Dia membuka kotak hitam itu, menunjukkan kepada ku enam biji kek cawan yang terlukis indah.
Dia mengangkat satu kek cawan yang tidak terhias apa-apa, cuma kosong dengan warna krim kekuningan.
‘Ini hati saya pada mulanya. Satu hari saya memutuskan bahawa hati yang seketul darah itu tidak wajar terletak dalam badan saya yang tidak di ingini oleh sesiapa. Saya bedah dada dan keluarkan hati, adun dalam ramuan menjadi kek cawan. Anehnya, ia berubah menjadi kuning ke-emasan bukan merah darah yang saya sangka kan.’ Dia meletakkan kek cawan pertama di ruang antara kami. Aku melihat kek itu berdenyut-denyut lembut dan lemah.
Dia mengangkat yang kedua. Kek cawan yang terlukis di atasnya tiga kuntuk bunga ros berwarna merah, biru dan kuning. Ada sebiji permata yang bersinar terang di antaranya.
‘Satu hari saya berjumpa seorang lelaki. Diam-diam saya menginginkan-nya. Siang, malam saya mengharapkannya. Di satu malam, bila saya tidak lagi boleh menahan keinginan kepadanya, saya bedah kepala saya dan keluarkan harapan dari satu sudut terdalam dalam kepala. Saya adunkannya dan jadikan ia kek cawan ke dua. Tiga kuntum bunga ros itu ialah kalimat keramat yang saya inginkan dan permata bersinar itu ialah harapan saya kepadanya yang tidak pernah pudar.’ Kek cawan yang ke dua itu diletakkan di sebelah kek yang pertama tadi. Aku lihat sinar permata itu makin pudar.
Dia mengangkat yang ketiga. Kali ini kek cawan itu bercampur aduk hitam dan putih, membentuk lapisan berselang seli dan corak polka dot hitam dan putih.
‘Ini marah dan kebencian saya. Bila lelaki itu tidak pernah mengerti apa yang saya mahukan. Ya, dia melayan saya baik sekali. Tetapi baik dan suka berbeza bukan? Suka dan Cinta juga jauh berbeza. Dia cuma baik, sedangkan saya mengharapkan lebih dari itu. Di satu pagi bila saya bangun tidur, saya sedar kekecewaan saya menjajah fikiran. Saya sedut amarah dan benci dari akal dan kekecewaan dari dada dan adunkan menjadi kek cawan ini.’
Aku melihat lapisan-lapisan hitam dan putih itu bertukar-tukar susunanya. Polka dot pula merubah-rubah saiznya, sekejap kecil dan sekejap besar.
‘Kau lihat ada hati berdarah di atas kek cawan ini.’ Dia mengangkat kek ke empat dan menyuakan kepada aku. Benar, ada hati yang darahnya tidak henti-henti mengalir. Tetapi hati itu tidak pernah kecut, tidak pernah mati. Tetapi makin galak berdenyut setiap kali darah mengalir.
‘Kenapa?’ Soalku. Kata kedua yang terbit selepas menyapanya mula perkenalan.
‘Kerana satu hari lelaki itu berjumpa gadis lain dan terus jatuh cinta padanya. Saya keluarkan kesakitan dalam dada dan adunkan dalam kek cawan ke empat ini. Darah terus mengalir, sakit terus terasa. Tetapi cinta terus berdenyut. Mengapa?’ Aku senyap, membiarkan soal nya tidak berjawab.
Sudah empat kek cawan yang ditunjukkan kepadaku. Aku lihat di dalam kotak masih berbaki dua. Tetapi gadis itu menutup kembali kotak dan mengubah pandang jauh ke depan.
Aku cuba menahan diri daripada bertanya, tetapi kalah.
‘Yang dua lagi?’ Tanganku menunjukkan ke arah kotak di atas pahanya.
Dia memandangku tersenyum lebar, menampakkan gigi yang tersusun cantik. Memegang erat kotak, dia bangun, mengibas-ngibas punggungnya dan mula berjalan pergi sebelum menoleh.
‘Ini waras dan takdir. Saya mahu simpan sampai bila-bila. Hati, harapan, benci dan cinta boleh hilang, cuma jangan waras dan takdir.’
Aku bangun dan berjalan ke arahnya, namun melihatnya makin menjauh. Seolah dimensi ruang dipanjangkan dan dilebarkan. Dia di situ dan aku di sini, tetapi tidak pernah mendekat.
Empat kek cawan yang diletakkan di atas bangku tadi mula diserang gagak hitam yang kebuluran.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
this is so beautiful and meaningful along. thanks for sharing :)
along pun suka..tramizi yg buat..untuk nukilan lainnya sila ke address ini :)
http://www.facebook.com/#!/notes.php?id=1003102969
Post a Comment