Hadith:
Daripada Anas RA katanya, “Pada suatu hari Rasulullah
melalui seorang wanita yang sedang menangis di tepi kubur lalu baginda bersabda
: “Bertaqwalah kamu kepada Allah Azza wa Jalla dan bersabarlah.” Perempuan itu
menjawab, “Pergilah, kerana engkau tidak menerima musibah sebagaimana yang aku
alami sekarang.” Perempuan itu tidak mengetahui bahawa yang di hadapannya itu
ialah Rasulullah SAW. Kemudian perempuan itu diberitahu bahawa lelaki itu ialah
Rasulullah SAW lantas dia segera pergi ke rumah Rasulullah dan didapati tiada
penjaga pintu di situ, lalu dia berkata (kepada Rasulullah SAW), “Sesungguhnya
tadi aku tidak mengenali engkau wahai Rasulullah.” Maka Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya
kesabaran itu hanyalah pada insiden (pertembungan) pertama.
Huraian Hadith:
1. Nabi SAW sangat bertawaduk dan bersikap santun terhadap orang jahil.
2. Kesabaran menghadapi musibah adalah bukti keimanan dan taqwa.
3. Amar makruf nahi mungkar wajib dilaksanakan pada bila-bila masa dan di mana
sahaja.
4. Harus bagi wanita menziarahi kubur, kerana Rasulullah tidak melarang wanita
berkenaan daripada menziarahinya.
5. Kesabaran itu dituntut dan dipuji perlakuannya pada mula-mula pertembungan
dengan bala dan kesusahan, kerana dengan berlalunya masa musibah itu akan
dilupakan dan perasaan akan ringan dengan sendiri.
6. Sifat kesabaran itu juga hendaklah dilaksanakan tatkala kita menghadapi
kebingungan (kebuntuan hidup) untuk menghindarkan diri daripada syaitan dan
daripada termasuk ke dalam lubuk kehinaan.